Alangkah
indahnya kehidupan orang kaya. Cakap sahaja apa yang dimahukan, hampir semuanya
boleh dapat. Malah, kalau pegi ke mana-mana, ada sahaja yang hendak memberikan
layanan ala first class. Jadi kalau ditanya kepada sesiapa – mahukah menjadi
papa ataupun muflis? Jawapannya sudah tentu tidak!
Namun,
dalam pada ramai yang cuba mengelak daripada menjadi muflis di dunia, ada
antaranya pula terlupa untuk mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak bankrap
di akhirat. Sebab itulah ada yang ghairah mengaut kekayaan dengan
bermacam-macam cara sama ada ‘halal’ ataupun ‘haram’. Tetapi di celah-celah itu
juga masih ada terselit segelintir orang yang begitu ghairah membuat persiapan
untuk kaya di akhirat. Cuma sayangnya, mereka papa pula di dunia.
Menurut Prof Madya Hj Mohd Nor Mamat,
pensyarah di Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam, Universiti Teknologi MARA,
Shah Alam, seorang Muslim bukan hanya perlu mengejar kemewahan duniawi, tetapi
juga kekayaan akhirat. Ini bersandarkan kepada sepotong ayat yang terdapat dalam
kitab al-Quran.
Allah SWT
berfirman yang bermaksud: “Hendaklah
tuntut kampung akhirat dengan (kekayaan) yang diberikan Allah kepada engkau dan
janganlah engkau lupakan bahagian (nasib) engkau dari dunia, dan berbuat
baiklah (kepada manusia) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepada engkau dan
janganlah engkau berbuat bencana di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak
mengasihi orang-orang yang memperbuat bencana itu.” (al-Qashash:77)
Tegas beliau lanjut, penilaian kepada
muflis di dunia adalah bersandarkan kepada harta, sementara akhirat pula adalah
pahala. Justeru itu, untuk menjadi individu kaya di ‘hari kemudian’ kelak,
kekayaan harta dunia itu perlu ditransformasi atau ditukarkan kepada bentuk
pahala.
Lakukan transformasi
“Kita tidak boleh mengejar kekayaan
hanya untuk di dunia atau hanya untuk di akhirat sahaja. Kita juga tidak boleh
menjadi bankrap di dunia semata-mata hendak menjadi kaya di akhirat. Kita kena
kedua-duanya sekali. Sebab manusia yang paling baik adalah yang kaya di dunia
dan kaya juga di akhirat. Dengan kata lain, dia kaya harta dan kaya pahala,”
hurai beliau.
Sambung Prof Madya Hj Mohd Nor,
individu kaya beruntung kerana dia boleh menukarkan aset dunianya bagi
membolehkan dia membuat pelaburan pahala di akhirat. Hal ini berbeza pula
dengan orang yang kurang berada, apalagi seorang fakir. Namun, golongan yang
berada harus ingat – kalau hari ini dia kaya di dunia, tidak mustahil dia boleh
menjadi muflis di akhirat gara-gara gagal menggunakan hartanya secara berhikmah
di jalan Allah. Dan boleh jadi harta itu juga akan menyebabkan dia lengah masuk
syurga.
Namun, bagi yang kurang berada pula,
walaupun peluang menggandakan pahala untuk akhirat tidak sebanyak orang kaya,
dia juga sebenarnya turut beruntung. Ini kerana kata Prof Madya Hj Mohd Nor,
kurang harta akan menyebabkan dia kurang berbuat dosa dalam proses pengendalian
harta yang ada.
Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat
pelbagai cara untuk mengaut pahala demi kekayaan di akhirat. Bagi yang
berkemampuan dari segi material, sudah tentu membelanjakan harta dalam bentuk
yang diredai Allah boleh menukarkan ia kepada pahala. Bagaimanapun, tegas
beliau, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi.
“Syarat pertama, benda yang kita
belanjakan itu tidak termasuk dalam perkara haram. Kedua, niat mestilah ikhlas
kerana Tuhan. Ketiga, kena melakukan dengan sedar. Jika tersilap bagi itu, itu
termasuk dalam kategori tidak sedar. Jadi tidaklah mendapat pahala. Dan yang
keempat pula tidak menafikan arahan-arahan Tuhan yang lain. Kalau cukup syarat
tadi, perbelanjaan harta kita akan bertukar kepada pahala akhirat,” jelasnya
sambil menambah semuanya itu turut dikenali sebagai syarat ibadah umum.
Mengulas perihal ada orang yang
sanggup menghabiskan keseluruhan hartanya untuk bersedekah, Prof Madya Hj Mohd
Nor berkata, itu bukanlah cara terbaik untuk membuat pelaburan di akhirat.
“Kalau kita hendak mendapatkan banyak pahala sebagai saham di akhirat,
janganlah pula sampai kita melarat, tidak boleh hidup di dunia… Kita kena
tengok model Rasulullah SAW,” ujarnya.
>Mengulas
lanjut, beliau memetik kisah yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad. Baginda
pernah bertanya kepada sahabat – siapa yang mahukan pahala di akhirat dengan
menginfakkan harta benda mereka? Lantas Abu Bakar bangun dan berkata ya.
Rasulullah bertanya berapa banyak? Dan Abu Bakar memberitahu ingin menginfakkan
keseluruhan hartanya sehingga yang tinggal hanyalah rasul dan Tuhan.
Mendengar
kata-kata Abu Bakar, Nabi Muhammad terus berkata tidak boleh. Kemudian Umar
Al-Khattab pula menawarkan diri dengan menginfakkan separuh daripada hartanya.
Ini turut ditolak oleh baginda. Sebaliknya Rasulullah menegaskan bahawa hanya
satu pertiga sahaja yang boleh diinfakkan. Selebihnya adalah untuk diri dan
keluarga.
Bersedekahlah kepada keluarga
Sambung Prof Madya Hj Mohd Nor lanjut,
walaupun seseorang itu melakukan sesuatu demi meraih pahala untuk akhirat, dia
tidak boleh meletakkan dirinya di dunia dalam jurang kemusnahan. Dengan kata
mudah, seorang Muslim tidak boleh sengaja menyusahkan dirinya. Selain itu,
beliau turut menegur sikap kebanyakan Muslim yang menganggap sedekah tidak
boleh diberikan kepada keluarga. Tegasnya, ini merupakan antara salah faham
yang perlu diperbetulkan.
“Bagi sedekah dalam Islam sebenarnya
bermula dari kaum kerabat dulu. Maknanya kalau kita tidak beri cukup makan
kepada keluarga kita, tetapi kita beri sedekah kepada orang lain walaupun anak
yatim, itu sudah kira salah. Kita kena utamakan keluarga, kemudian baru kepada
anak-anak yatim. Kalau emak kita miskin, kita kena bagi dulu kepada emak. Sebab
sedekah kepada emak itu lebih perlu,” beritahunya.
Selain itu, untuk meningkatkan saham
pahala di akhirat, seseorang itu juga perlu berilmu. Ini kerana dengan ilmu
tersebut dia akan bijak membuat pilihan disebabkan dia tahu yang man satu harus
menjadi keutamaan. “Ulama ada kata, orang berilmu buat benda sikit. Tetapi
pahalanya banyak sebab dia tahu mana satu menjadi keutamaan. Dia bijak dalam
mengenal peluang pelaburan.”
Sumber : ILuvIslam
No comments:
Post a Comment