Assalamualaikum.. Selamat Pgi semua ;-)
Tuhan yang beri kita rezeki, dan hanya Dia yang berkuasa mengambilnya
semula.
Duit dalam genggaman kita, dalam akaun bank, dalam poket seluar mahu pun
beg duit belum tentu lagi menjadi milik kita. Bila-bila saja kita mungkin
kehilangannya.
Andai ditakdirkan kita mati hari ini, kita kembali kepada-Nya dengan
tangan yang kosong. Tanpa wang, tanpa harta.Semuanya milik Allah.
Dan Dia berhak atas segalanya.
Allah swt berfirman :
“Dan ketahuilah bahawasanya harta dan anak itu sebagai ujian;
sesungguhnya Allah pada sisi-Nya itu adalah ganjaran yang besar.” – [Surah
al-Anfal : 28]
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut
(kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan
dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira
kepada orang-orang yang sabar.” – [Al-Baqarah 2:155]
Bila diuji, bersabarlah.. dan senyumlah..
Musibah datang dalam pelbagai cara. Musibah dan ujian merupakan tarbiyah
daripada Allah bagi mereka yang celik hati dan akalnya.
Bila diuji, bagaimana penerimaan kita terhadap musibah tersebut? Apakah
kita menerima ujian dari-Nya dengan hati yang terbuka, berlapang dada dan
kembali muhasabah diri, memperbaiki kelemahan diri dan meningkatkan lagi amalan
seharian..?
Atau Bagaimana?
Jarang sekali kita bersyukur dengan
ujian yang diberikan. Sedangkan mungkin juga, ujian itu
merupakan salah satu peringatan kepada kita, supaya kembali dekat kepada-Nya,
agar perbanyakkan amalan kepada-Nya, menadah tangan bermohon doa kepada Dia.
Moga kita dijauhi dari api neraka dan dimasukkan ke syurga.
Kerana Dia kasihkan kita. Sekali-sekala Dia ‘mengejutkan’ kita dari lena
yang panjang. Menyedarkan kita dari kealpaan dan kelalaian.
Kerana semuanya milik Dia. Dia memberi kepada sesiapa yang Dia ingini
sebagaimana firman-Nya;
“Sesungguhnya Rab (Tuhan)mu melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia
(Allah) kehendaki dan menyempitkannya; sesungguhnya Dia (Allah) terhadap
hamba-hamba-Nya (Allah) adalah al-Khabir (Maha Mengerti), lagi al-Basir (Maha
Melihat).” – [Surah Al-Israk:30]
Wang dan harta yang kononnya milik kita juga bila-bila masa sahaja jika
Dia mahu menariknya kembali, dengan pelbagai cara ia ‘pergi’ dari kita.
Contohnya tiba-tiba kita kehilangan wang, tercicir atau diragut. Atau
mungkin bagi sesiapa yang miliki kereta, tetiba sahaja kereta rosak, atau tayar
pecah atau terlanggar pokok; semuanya perlukan wang dan secara tidak lansung,
duit itu keluar dari poket kita.
Allah swt berfirman dalam surah Al-Ankabut, ayat ke-2;
“Adakah manusia mengira, bahawa mereka akan dibiarkan saja, dengan
mengatakan: Kami telah beriman, padahal mereka belum lagi mendapat cubaan?”
Maka, bila Allah menguji kita dengan rezeki yang kita miliki. Buka mata.
Muhasabahlah, periksa dan koreksi diri sendiri.
Peringatan buat diri saya sendiri adanya. Muhasabah diri sendiri.
Mungkin ada sesuatu yang tidak kena, sesuatu yang bukan pada tempatnya yang
telah kita lakukan dan Allah mahu ‘menegur’ kita dengan cara tersebut.
Diriwayatkan dari Anas bahwa Rasulullah bersabda;
“Apabila Allah menghendaki kebaikan pada seorang hamba-Nya maka Dia
menyegerakan hukuman baginya di dunia; sedang apabila Allah menghendaki
keburukan pada seorang hambaNya maka Dia menangguhkan dosanya sampai Dia penuhi
balasannya nanti di hari Kiamat.” – [Hadits riwayat At-Tirmidzi dan Al-Hakim]
Mungkinkah cara kita mendapatkan rezeki itu tidak diberkati oleh-Nya?
Atau mungkin kita lupa untuk mengeluarkan sebahagian dari harta kita ke
jalan Allah?
Atau mungkin juga kita menyalahgunakan pinjaman Allah (contohnya kereta)
dengan melakukan perkara-perkara yang dimungkari oleh Allah swt.
Suatu peringatan dari-Nya, agar kita tidak terus leka bergelumang dengan
perkara-perkara yang dibenci oleh-Nya.
Atau mungkin Allah menguji kita kerana ingin melihat sejauh mana kita
menerima ketentuan-Nya. Bersabar dengan dugaan yang telah Dia berikan kepada
kita.
Bukankah Allah sayang kepada orang yang bersabar dan menerima
ketentuan-Nya dengan hati yang tenang dan redha?
Firman Allah swt;
“Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan
izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi
petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” –
[At-Taghabun:11].
Bersabarlah wahai hati, sesungguhnya
Allah bersama dengan mereka yang sabar dan beriman kepada-Nya.
Allah swt berfirman :
“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang
demikian itu sungguh berat sekali kecuali bagi orang yang khusyuk.” – [Surah
al-Baqarah:45]
“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah)
dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang
sabar.” – [Al-Baqarah:153]
Wahai hati, bersabarlah. Jangan berputus asa dan teruskanlah berjuang,
mohonlah pertolongan dan perlindungan daripada Allah. Dan yakinlah bahawa
cukuplah Allah sebagai penolong.
Jangan
bersedih.. bersabarlah..
Bersabarlah wahai hati. Yakinlah bahawa Allah sentiasa ada bersamamu,
bila ditimpa musibah, hadapilah segalanya dengan tabah dan ucapkanlah
“Innalillahiwainnailaihirajiun” yang bermaksud; sesungguhnya dari Allah kita
datang, dan kepada-Nya juga kita kembali.
Muhasabah buat diri kita semua. Semoga kita tergolong dalam golongan
mereka yang sabar dan khusyuk.
Sumber : ILuvIslam
No comments:
Post a Comment