Puasa Arafah

Besar ganjaran puasa Arafah



SOALAN 1:

Apakah kelebihan berpuasa pada hari Afarah?


JAWAPAN:

Terdapat beberapa hadis yang sahih menggalakkan orang Islam yang tidak ke Tanah Suci Mekah supaya berpuasa pada hari Arafah. Di antara sabda Baginda bermaksud: Ditanya kepada Rasulullah s.a.w. berhubung puasa pada hari Arafah, maka Baginda bersabda: Berpuasa pada hari Arafah menghapuskan dosanya setahun sebelum dan setahun selepas. (riwayat Muslim).

Daripada Abi Qatadah daripada Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Berpuasa pada hari Arafah, sesungguhnya aku mengharapkan daripada Allah agar dihapuskan dosa selama satu tahun sebelumnya dan satu tahun selepasnya. (riwayat Abu Daud, al-Nasie dan al-Tirmizi)
Yang dimaksudkan setahun sebelum ialah setahun sebelum 9 Zulhijjah dan setahun selepasnya ialah setahun selepas 9 Zulhijjah, ini bermakna penghapusan dosa bagi dua tahun berturut-turut.

Dua hadis di atas, jelas bahawa sunat kita berpuasa pada hari Arafah di dalam, Bab Puasa Sunat. Sebagai anak Adam kita tidak terlepas daripada melakukan dosa sama ada yang kita sedar ataupun tidak, kecil mahupun besar. Maka dengan adanya peluang sebegini adalah untuk manusia mengambil peluang bertaubat dan menginsafi diri.

Bagi mereka yang ingin mengqada puasa wajibnya, sekiranya dia berpuasa pada hari Arafah dengan niat qada, puasanya sah dan pada masa yang sama mendapat ganjaran yang dijanjikan dalam hadis di atas. Ini tidak bermaksud menangguhkan puasa wajib qada sehingga hari Arafah, ini kerana qada puasa wajib perlu disegerakan. Namun jika ada yang ingin mengqada tidaklah terlepas daripada ganjaran yang dijanjikan. Kerana yang wajib itu sifatnya kulliy dan sunat Arafah ialah juziy. apabila kulliy bertemu dengan juziy, maka juziy ikut sekali. Ini juga kerana adanya musaadafah bertemu yang wajib dengan sunat yang mempunyai fadilat, maka fadilat akan diperoleh oleh orang yang berpuasa pada hari Arafah.

SOALAN 2:

Saya seorang lelaki gay tetapi dari luaran kelihatan seperti lelaki normal. Seingat saya tidak pernah melalui pengalaman pahit sehingga menjadikan saya begini. Sekarang umur saya hampir mencecah 30-an. Saya bukan seorang gay yang aktif tetapi pernah mempunyai pasangan sesama jantina. Sejak kebelakangan saya mula berfikir hidup begini tidak ke mana (melukakan, kesunyian dan kebanyakannya berorientasikan seks semata-mata) dan dilaknat Allah. Apa yang harus saya lakukan?

JAWAPAN:

Apa yang berlaku dan kecenderungan saudara adalah sesuatu yang tidak normal bagi seorang lelaki. Allah s.w.t. menjadikan pasangan bagi manusia adalah kaum lain jenis, lelaki sukakan perempuan dan begitu sebaliknya. Ini yang dinamakan fitrah tabie manusia. Apabila seorang lelaki atau seorang perempuan sukakan jenis yang sama, malahan sanggup melakukan perbuatan yang terkutuk di sisi agama. Puncanya manusia hilang hala tuju kehidupan yang sebenar. Setiap orang perlu melihat kepada asal usul kejadiannya.

Jika dilahirkan sebagai seorang lelaki maksudnya Allah mahukan dia menjadi lelaki dengan memenuhi segala ciri yang perlu ada pada seorang lelaki, ini termasuklah persoalan kecenderungan nafsu. Lelaki suka dengan perempuan adalah normal tetapi apabila lelaki suka pada lelaki itu sudah tidak normal.

Cuba lihat kepada perkataan tidak normal, apa perasaan saudara bila saudara tergolong dalam golongan tidak normal? Maksudnya tidak seperti lelaki-lelaki lain, pelik, buruk perangai, orang tak suka, Allah murka. Orang yang tabiatnya tidak normal hebat atau hina? Punca yang lain ialah gagal mengawal nafsu. Sedangkan nafsu dalam banyak keadaan mengajak manusia melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak fitrah.

Nafsu perlu dikawal, perlu dibenteng dengan amal ibadat. Di antara amalan yang dapat mengawal nafsu ialah memperbanyakkan zikir, membaca al-Quran, bersedekah, solat berjemaah, hadir majlis-majlis ilmu. Ini di antara imunisasi sebagai antibodi bagi mengawal nafsu.

Seterusnya berusaha dengan bersungguh-sungguh daripada melibatkan apa sahaja aktiviti yang boleh mengundang kepada rasa minat kepada kaum sejenis. Ada kalanya cara berfikir juga mempengaruhi perasaan seseorang, suka berfikir dan berkhayal menjadi punca berikutnya seseorang itu merangsang minatnya pada kaum sejenis. Saya yakin perkara sebegini tidak akan berlaku kepada orang yang berfikiran positif.

Apa dikhuatiri ialah bila sesuatu perkara yang tidak baik sudah dianggap alah bisa tegal biasa. Sudah seronok, tak peduli dengan hukum Allah, tak kisah kalau Nabi tak mengaku umat, tak kisah bercanggah dengan adat.

Saudara masih belum terlambat, keinginan saudara untuk berubah sudah ada, bila saudara mahu bertanya tanpa berselindung adalah gambaran awal saudara mahu berubah. Di dalam al-Quran dan hadis banyak menceritakan mengenai kaum Nabi Lut a.s. Firman Allah: Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu Dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum Yang melampaui batas. (al-Araf: 81 ).

Kemurkaan Allah ke atas kaum ini jelas apabila perkampungan kaum Nabi Lut a.s. diterbalikkan. Firman Allah yang bermaksud: Akhirnya Merekapun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus Segala Yang ada di muka buminya), dan Kami hujani atasnya Dengan batu dari tanah Yang dibakar. (al-Hijr: 73-74 ).

Allah menjadikan perkampungan kaum Nabi Lut yang diterbalikkan itu sebagai kesan peninggalan sejarah serta bukti kemurkaan Allah.
Ini jelas dalam firmannya yang bermaksud: Dan Kami tinggalkan di negeri itu (timbunan batu-batu Yang telah menghujani dan membinasakan mereka), sebagai tanda (yang mendatangkan keinsafan) bagi orang-orang yang sedia takut kepada azab siksa yang tidak terperi sakitnya. (al-Dzariyaat: 37).

Kebanyakan ahli sejarah menyebut bahawa Laut Mati yang terletak di bumi Jordan itu asalnya perkampungan kaum Nabi Lut a.s. Maksudnya Allah akan membinasakan sesuatu kaum yang melanggar perintahnya, apatah lagi jika melanggar fitrah yang telah dijadikan bagi manusia mengikut kehendak takdirnya.
Tiada yang tidak boleh berubah, hatta takdir Allah juga boleh berubah dengan doa yang mustajab.

Bina kehidupan saudara menjadi lelaki yang normal, berkahwin, mendidik isteri dan anak-anak. Tanggungjawab sebagai seorang lelaki cukup mencabar, jika kehidupan ini dicemari dengan nilai-nilai yang negatif apa erti kita menjadi manusia?
Kita adalah sebaik-baik kejadian. Kita telah dan akan terus mulia jika kita menjadi insan yang soleh, taat kepada Allah dan Rasul-Nya serta mengaplikasikan etika hidup yang harmoni.



Artikel Penuh: Utusan Malaysia © Utusan Melayu (M) Bhd 


Ingin menjadi sebahagian dari famili Shaklee..? KLIK SINI untuk info lanjut. (^_^)

Nak order Shaklee dan perlukan konsultasi Nadia? Nak daftar ahli dan dapat side income dengan Shaklee? Jangan malu-malu untuk hubungi Nadia seperti di bawah. Nadia akan bagitahu details (^_^) 

* Segala testimoni/penulisan mengenai produk di laman ini bukan bertujuan untuk merawat,mencegah atau menyembuhkan apa jua penyakit. Mereka yang mengalami masalah kesihatan diminta rujuk kepada pakar perubatan terlebih dahulu.  

SHAKLEE MEMIKAT HATI..? DAPATKAN DARIPADA :
Dengan hanya RM75 seumur hidup daftar  sebagai Ahli untuk menikmati lebih GANJARAN.
Untuk sebarang pertanyaan & pembelian boleh PM inbox..
Instagram: snow_nadia
Facebook: Noor Maizatulnadia
Fanpage: lovevitaminlove
Email: 
maiza23chuby@gmail.com
Shaklee Id: 988003

No comments:

Post a Comment

 
http://i.imgur.com/2BZNlZ4.png